04 November 2009

Akta Halal digubal giatkan Industri Halal (Utusan)

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Kerajaan akan menggiatkan lagi pembangunan industri halal dengan melaksanakan empat cadangan termasuk menggubal Akta Halal yang menjadi asas pembangunan, pengawal selia dan penguatkuasa industri berkenaan.

Cadangan itu juga menyaksikan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) diperbadankan sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, HDC akan menyediakan satu pelan tindakan pembangunan industri halal manakala pengubalan Akta Halal akan dilakukan dengan kerjasama Majlis Agama Islam.

Najib berkata, dua cadangan lain adalah mempertingkatkan persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kerjasama institusi antarabangsa untuk mendapatkan pensijilan piawaian seperti Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Amalan Pengilangan terbaik (GMP) supaya sijilnya diktiraf antarabangsa.

Cadangan itu juga melibatkan pembangunan sistem anti penyeludupan produk halal di tiga pintu masuk dan tiga pelabuhan utama untuk membantu agensi seperti Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jakim mencegah kegiatan penyeludupan dan mengurangkan risiko wabak penyakit.

“Untuk tujuan ini, sebanyak RM24 juta akan disediakan oleh kerajaan,” katanya. Najib berkata, umat Islam di seluruh dunia kini melebihi 1.8 bilion orang dan permintaan untuk perkhidmatan dan produk halal semakin meningkat sehingga mencecah AS$2.1 trilion (RM6.93 trilion) setahun. “Malah, golongan bukan Islam turut berminat terhadap produk halal juga meningkat,” tambah beliau.

Arak 'ibu' kepada maksiat

Oleh ZUARIDA MOHYIN
KEBIMBANGAN ibu bapa dengan masalah ketagihan arak di kalangan remaja Muslim perlu dicari jalan penyelesaian. PERKONGSIAN pengalaman dua orang teman penulis tentang gelagat segelintir Muslim yang tanpa segan silu menonggak air haram atau minuman keras meskipun beranggapan ia bukannya di tempat awam pada ruangan sama dua minggu lalu, pastinya menimbulkan kegusaran ramai terutamanya umat Islam itu sendiri.
Tentunya persoalan pertama yang terdetik di hati kita yang mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah atau perkataan yang terpacul daripada mulut kita ialah "Tidak takut tuhan ke?" atau "Apalah nak jadi dengan umat Islam hari ni," malah banyak lagi yang berserabut dalam fikiran kita.
Apa tidaknya, takut dengan balasan-Nya ketika di dunia ini kerana pada saat Allah SWT menurunkan bala-Nya, ia tidak terkecuali yang melakukan dosa atau tidak. Semuanya merasai musibah tersebut.
Malah penulis tambah terkejut dan kecewa apabila dalam satu Muzakarah Pakar: Arak dan Permasalahannya pada Jumaat lalu, Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah menceritakan kepada audiens program anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pagi itu, bahawa beliau ada menerima kes di mana seorang bapa Muslim telah membawa anaknya yang baru berusia 10 tahun ke kelab malam dan telah diberikan minuman air beralkohol atau minuman keras. Tambah menyedihkan lagi, aktiviti ini dilakukan setiap malam sehingga kanak-kanak ini tidak dapat memberikan tumpuan di dalam kelas.
Begitu juga dalam satu penerbangan, beliau telah berkenalan dengan seorang Muslim yang berbangsa Arab. Yang memeranjatkan Mohd. Farid Ravi apabila kenalan baru beliau itu telah memesan mimuman keras. Apabila ditanya, mudah sahaja jawapannya iaitu dia sedang dalam musafir.
Biarpun alasan yang diberikan itu tidak munasabah serta menimbulkan suasana jenaka para peserta di Dewan Besar IKIM itu, namun dalam kita ketawa besar itu, jangan kita lupa bahawa sikap dan tindakan segelintir umat Islam itu sendiri telah menjelaskan tindakan yang memperlekehkan agama Islam, sama ada secara sedar ataupun tidak.
Pada muzakarah itu juga, semua audiens sepakat mengakui bahawa permasalahan arak bukanlah isu agama sebenarnya tetapi ia adalah isu sejagat. Ini bertitik tolak daripada kesepakatan, kesan negatif arak bukan sahaja kepada individu malah masyarakat dan juga membabitkan aspek spiritual.
Turut dibangkitkan undang-undang penyalahgunaan dadah dan membanteras gejala yang berkaitan dengan dadah, peruntukan undang-undangnya cukup ketat. Ada peserta mempersoalkan mengapa peruntukan undang-undang serupa tidak dipraktiskan ke atas arak?
Padahal, jika dilihat kesan arak kepada seseorang itu, itu boleh dikira setaraf atau jauh lebih buruk. Lantaran itulah, Islam telah mengklasifikasikan arak sebagai ibu segala maksiat. Ditambah pula undang-undang tidak dapat menyelesaikan masalah sosial dan pendekatan berkesan ialah menerusi penguatkuasaan yang efektif.
Mohd. Farid Ravi dalam kertas kerjanya yang bertajuk, 'Mengapa Islam Mengharamkan Arak' menjelaskan Islam menggunakan cara pendekatan tadrij (berperingkat) untuk mengatasinya.
"Ini dapat dilihat daripada ayat-ayat pengharaman arak yang diturunkan sebanyak empat kali dengan ungkapan yang berbeza. Ayat pertama al-Nahl: 67: Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada satu tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya. Pada ayat ini Allah belum lagi mengharamkan arak secara total.
"Namun, ada peringatan yang sangat halus daripada ayat ini iaitu tamar dan anggur yang manis kalau dicampur dengan sedikit ragi, pastinya akan memabukkan. Ayat ini hanya menceritakan sahaja tabiat Arab yang memproses tamar dan anggur menjadi arak.
"Sementara pada surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya... Ayat ini membuktikan bahawa dosa arak adalah lebih besar berbanding manfaatnya," katanya.
Tambah Mohd. Farid Ravi, pada ayat 43 surah an-Nisaa yang bermaksud: Jangan kamu menghampiri solat sedangkan kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu sedar apa yang kamu ucapkan. Larangan minuman keras itu ditentukan dengan masa waktu solat. Jelas perintah pengharaman tersebut dapat difahami.
Akhirnya, pada kali keempat baru diturunkan firman-Nya bermaksud: Wahai orang beriman, sesungguhnya arak, judi, asnab (berhala dan merenung nasib itu adalah kerja kotor (dan keji daripada amalan syaitan maka tinggalkannya semoga kamu berjaya. (al-Maidah: 90) Pada ayat inilah muktamad hukum minum arak, iaitu haram dan termasuk dalam dosa besar.
Perlu dijelaskan di sini bahawa kebanyakan rumah di zaman perkembangan awal Islam di Madinah menyimpan banyak arak. Tindakan serta merta dengan arahan Allah SWT dalam surah al-Maidah 90 dan 91 didasari oleh iman yang teguh, lantas menjadikan mereka pasrah terhadap perintah Allah.
Kata Mohd. FaridRavi lagi, ia tidak mudah yang disangka kerana minum arak sudah lama mendarah daging di kalangan bangsa Arab. Tapi, uniknya tidak timbul persoalan ketagihan di kalangan para sahabat berbanding orang sekarang. Lantaran itu, saran beliau perlu ada semangat jitu untuk berhenti tidak kiralah untuk tabiat minum arak mahupun merokok.
"Apa yang diharapkan ialah umat Islam harus peka terhadap permasalahan arak bermula daripada hukum pengharaman serta hukum penglibatan dalam aktiviti arak.
"Tidak dapat disangkal bahawa sebahagian besar permasalahan yang kian menular dan membarah dalam masyarakat Islam adalah berpunca daripada arak.
"Kerana dengan menjauhi arak, ia dapat menjaga kewarasan berakal, keharmonian di dalam keluarga serta menjaga nilai-nilai manusiawi dalam diri seseorang individu," ujar Mohd. Farid Ravi kaedah berkesan dalam mengatasi permasalahan arak ialah dengan menggunakan pendekatan pendidikan.
Pada muzakarah itu juga Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr. Sallehudin Abu Bakar membangkitkan kebimbangannya kerana trend di negara maju di mana arak dan rokok semakin menurun berbanding di negara kita, ia nampak ketara peningkatannya. Lebih-lebih lagi statistik yang diperoleh mendapati bahawa golongan remaja Melayu Islam (antara usia 13 hingga 18 tahun) juga terlibat dengan pengambilan benda haram ini.
"Sebenarnya, amaran tentang bahaya arak atau alkohol telah wujud sejak zaman silam lagi. Sejarah membuktikan bahawa kejatuhan Empayar Kerajaan Mesir dan China Kuno ada kaitannya dengan penggunaan arak berlebihan.
Amaran
"Malah ahli falsafah Yunani ada mengeluarkan amaran tentang bahaya mabuk arak dan menasihatkan supaya minum secara sederhana. Begitu juga dengan Plato, Aristotle dan Hippocrates.
"Pada kurun ke 11 AD, Simoen Seth, doktor perubatan untuk keluarga diraja di Byzantine, ada menulis catatan bahawa meminum arak secara berlebihan boleh menyebabkan radang hati/hepatitis," katanya arak adalah minuman paling popular dan paling ramai selepas air dan teh.
Dr. Sallehudin juga menerangkan kepada audiens bahawa penyerapan alkohol ke dalam saluran darah adalah lebih cepat di usus kecil berbanding perut dan kecepatan penyerapan itu akan turut mempercepatkan kesan.
Antara kesan jangka pendek seperti; mabuk, dehidrasi dan keracunan alkohol. Manakala kesan jangka panjang termasuk perubahan metabolisma kepada organ hati, otak dan ketagihan.
"Alkohol yang terserap melalui saluran darah akan melemahkan aktiviti otak, tekanan darah menjadi tidak menentu, otot-otot tidak berfungsi sepenuhnya hilang keseimbangan dan jalan terhuyung-hayang dan juga aktiviti mental tidak dapat dikawal (hilang pertimbangan dan tidak siuman seperti pemarah dan hilang malu)
"Manakala kesan alkohol terhadap hati pula ia menukar alkohol kepada Axetaldehayde, suatu bahan mutagen dan carcinogen. Hati mampu memproses tujuh gms ethanol sejam. Kalau sekiranya seseorang itu mengambil sebotol wine, hati mengambil masa selama 12 jam untuk memproses. Bayangkan jika ia diambil berlebihan, tidakkah ini memudaratkan hati, sekali gus fungsi otak.
"Hakikatnya, kesan lebih buruk jika ia diambil dalam tempoh masa yang lama dan berterusan ke atas fungsi organ dan sistem tubuh badan manusia. Malah lebih memburukkan lagi, penggunaan alkohol melebihi 50g sehari akan meningkatkan risiko pelbagai jenis kanser," katanya seperti; kanser mulut, payu dara, hati, paru-paru, perut, hempedu, endometrium, ovari, prostat, kulit-melanoma dan kolorektal.
Menjelaskan tentang ketagihan alkohol atau istilahnya alcoholism adalah satu penyakit di mana meminum alkohol adalah satu kemestian.
Kata Dr. Sallehudin, mereka yang terjerat dengan arak, jika tidak mengambil arak untuk sehari dua, mereka akan mengalami gejala pengunduran (withdrawal syndrome)
Dr. Sallehudin secara sinis dalam hujahan beliau turut menyamakan bahawa bukan sahaja rakyat Malaysia ramai yang ketagihan tetapi masalah sama juga berlaku kepada pihak berkuasa.
"Pendapatan daripada hasil rokok ialah sebanyak berbilion setiap tahun. Itu baru rokok, arak pastilah lebih banyak lagi. Jadi pihak berkuasa kenalah memikirkan cara lain untuk mencari pendapatan atau jangan sehingga ketagih atau terlalu bergantung kepada dua sumber pendapatan ini.
"Selain itu kekangan dari segi kehendak politik (political will) juga menjadikan masalah arak ini sukar ditangani. Selagi ahli politik itu takut hilang undi atau menjadi pemimpin yang tidak popular atau disenangi, selagi itulah sukar untuk merealisasikan umat Islam bebas arak," tegasnya.
Sementara itu dalam kertas kerja bertajuk, 'Arak dari Perspektif Undang-Undang Malaysia', Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin menjadikan isu arak di Selangor sebagai kajian kes dalam perbincangan muzakarah pakar itu.
Dalam pembentangan, beliau menegaskan undang-undang berkaitan alkohol di luar negara adalah jauh lebih ketat berbanding di negara ini. Di Eropah contohnya; Laporan dari US Department of State (July 2009) menunjukkan bahawa undang-undang di Norway adalah antara undang-undang yang sangat ketat di Eropah. Undang-undang tersebut memperuntukan hukuman yang berat iaitu penjara terhadap pemandu yang meminum alkohol. Tahap maksimum kandungan alkohol dalam darah adalah .02 peratus.
Di Selangor pula kata Dr. Zaleha, sebarang minuman yang mengandungi kurang dua peratus alkohol tidak memerlukan lesen daripada Lembaga Pelesenan. Di bawah seksyen 2(1) Akta Eksais 1976 sebagai "any alcohol or any liquid containing more than two percent centum of proof spirit, which is fit or intended to be or which can by any means be converted for use as a beverage".
Negara-negara Skandinavia kecuali Denmark mengawal penjualan alkohol secara ketat oleh kerajaan secara monopoli melalui peraturan mengenai penjualan dan pengambilan alkohol.
Di negara Islam seperti Arab Saudi melarang sepenuhnya pembuatan, import atau pengambilan alkohol dan memperuntukkan hukuman yang berat kepada sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut. Hukuman termasuk penjara dan sebatan.
Manakala di Qatar, undang-undangnya sama seperti Arab Saudi tetapi hukuman untuk kesalahan berkaitan dengan alkohol adalah penjara dan kemungkinan didiportasi. Walau bagaimanapun, alkohol boleh diperoleh di hotel dan bar berlesen. Pekerja asing bukan Islam pula perlu mendapatkan permit untuk membeli alkohol.
Di Bahrain yang terkenal sebagai negara yang sangat progresif di Teluk Parsi, bagaimanapun pada Februari 2009, Ahli-ahli Parlimennya telah berjaya menghalang penjualan semua jenis alkohol di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain.
Hakikatnya, banyak negara di seluruh dunia seperti di Iran, Afghanistan, Libya telah mula mengharamkan dan mengehadkan penggunaan dan pembelian alkohol. Di Tunisia, Maghribi, Mesir, Syria, Lubnan, Jordan dan Turki sungguhpun tidak melarang penjualan kecuali kepada remaja yang kurang daripada 18 tahun atau semasa pilihan raya dan bulan Ramadan.
Di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Amerika Latin mempunyai larangan tertentu mereka terhadap minuman beralkohol.
Di akhir pembentangan, Dr. Zaleha mengesyorkan dicari satu resolusi terhadap isu penjualan minuman keras khususnya di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam dan selanjutnya, mencadangkan sebarang tindakan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan agensi berkaitan bagi mengawal dan menjauhkan umat Islam daripada menghampiri minuman arak yang merupakan ibu kepada kemaksiatan.

02 November 2009

Kapsul Ubat : Gelatin babi dicop halal

Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram. BERNAMA (Nov 2, 09 5:01pm)

14 September 2009

Rujukan 3 - Halal Haram (CAP)


2006, pihak Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP. Buku ni merupakan hasil penyelidikan CAP merupakan suatu pendedahan dan panduan mengenai beberapa isu penting yang sejak sekian lama menjadi topik perbahasan di kalangan masyarakat, khususnya umat Islam. Objektifnya adalah untuk mendidik pengguna dan membantu mereka untuk mengelak dari memakan makanan yang tidak memenuhi peraturan dan amalan pemakanan mereka selain tidak memakan makanan yang diproses atau yang dicemari racun.. Pelbagai isu serta bahan yang dibincangkan...antaranya adalah Kolagen, Penambah Perisa, Plasma Darah, Gelatin, DNA Babi, Halal Hotel, Logo Palsu, Pelbagai Logo Halal, Pati Najis, Pinggan Mangkuk, Berus Bulu Babi, Lemak Binatang, Uri dalam Kosmetik, MSG dan lain2...Sebagai makluman, buku ini boleh didapati di pelbagai kedai buku seluruh Malaysia... (RM16)

08 September 2009

Badan Halal Dunia 6 - AFIC

The Australian Federation of Islamic Councils Inc atau AFIC adalah merupakan sebuah badan Islam yang terkenal dan besar di Australia. Bahagian pensijilan halal adalah merupakan salah satu bidang kuasa yang ia lakukan. Selain pensijilan halal, AFIC juga menguruskan bahagian pendidikan, khususnya pendidikan Islam kepada komuniti sekitarnya termasuk kanak-kanak dan orang dewasa. Sekolah AFIC merupakan pilihan utama ibubapa Muslim di Australia.
Selain itu, AFIC juga menjaga tentang hal ehwal umat Islam di Australia mengenai kebajikan dan sebagainya. Sebenarnya, AFIC ditubuhkan sejak 1963 hasil penyatuan persatuan-persatuan Muslim seluruh Australia yang mempunyai objektif yang sama, iaitu untuk menjaga kebajikan umat Islam dan memelihara maruah & kepentingan Islam.
Badan yang terletak di Alexandria, Sydney serta mempunyai cawangan di Melbourne ini, merupakan sebuah organisasi yang demokratik di mana mereka sentiasa mengadakan perbincangan melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang dipilih setiap dua tahun dalam kongres tahunan.
Ini adalah logo halal rasmi yang digunakan AFIC untuk produk-produk keluaran Australia yang disahkan halal. Jika anda perasan (boleh ke guna word ni?), antara produk halal Australia yang menggunakan logo halal ini adalah produk kesihatan, Safwa Health. Slogan dia macam ni kot "Safwa sihat lagi suci"...

01 September 2009

Sembelihan Janin Haiwan

  1. Anak haiwan yang berada dalam perut ibunya halal dimakan selepas disembelih ibunya samada haiwan tersebut boleh dikuasai (dimiliki) atau sebaliknya (buruan). Menurut hadis Riwayat Ahmad :
    "Kami telah berkata, wahai Rasulullah SAW, kami mengorbankan unta, lembu dan kambing yang dalam perutnya terdapat anak. Adakah kami patut membuangnya atau kami boleh memakannya? Lalu baginda bersabda : Makanlah jika kami mahu, kerana sembelihannya adalah sembelihan ibunya".
  2. Anak haiwan yang mati ketika disembelih ibunya atau tidak bergerak waktu ibunya disembelih, adalah HALAL (sebab mati kerana sembelihan ibunya). Tetapi sekiranya anak masih lagi aktif, bergerak dalam jangka masa yang lama selepas ibunya disembelih dan akhirnya mati akibat lemas maka ianya tidak halal (mati lemas).
  3. Anak yang mati kerana dipukul perut ibunya sebelum ibunya disembelih adalah HARAM dimakan. Anak yang belum ditiupkan roh, iaitu yang masih dalam bentuk alaqah dan mudghah adalah tidak halal dimakan (masa peringkat fetus).
  4. Anak yang keluar dari lapahan perut ibunya dalam keadaan hayat mustaqirrah (nyawa tetap) hendaklah disembelih terlebih dahulu.
  5. Anak yang telah terkeluar kepala (nak beranak dah) dan berada dalam hayat mustaqirrah (nyawa tetap), dan ibunya disembelih lalu anak itu mati sebelum ia sempat sempurna keluar, maka dagingnya HALAL dimakan.

Ruj : Penyembelihan Halal (Hukum, Teknik dan Kawalan Bakteria)

26 August 2009

First Film Tentang HALAL

10 August 2009

Rujukan 2 - Penyembelihan Halal (Hukum, Teknik & Kawalan Bakteria)

Oleh : Ustaz Lokman Ab. Rahman
  1. Buku ini diterbitkan pada tahun 2002 yang diterbitkan bersama oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Ia dikeluarkan bertujuan untuk memberi panduan dan pengetahuan kepada masyarakat Islam khasnya mengenai proses penyembelihan yang dibenarkan oleh syarak. Kandungannya merangkumi aspek kebersihan, keselamatan, hukum-hakam, masalah penyembelihan, peralatan yang digunakan dan kawalan bakteria. Ia juga ada menyentuh perihal panduan dalam melakukan ibadah korban.
  2. Selain itu, kepentingan buku ini adalah kerana ianya menyentuh bukan sahaja soal penyembelihan, tetapi juga menyentuh aspek komersial. Yang mana, amalan tradisi tidak lagi ekonomik, cepat dan tidak mampu menampung permintaan masyarakat, negara malahan pengguna Muslim antarabangsa.

04 August 2009

Isu Arak (HARAM) di Selangor

PAS Selangor Desak Ronnie Liu Ditukar
Mahu jawatan itu disandang sendiri oleh MB Selangor atau orang lain

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK (Mstar Online)

SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini mendesak kerajaan negeri menukar Exco Kerajaan Tempatan sekarang ekoran campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di negeri itu. Jawatan Exco kanan itu kini disandang oleh Ronnie Liu dari DAP. Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain. Pendirian itu diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebentar tadi.

"PAS Selangor menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula atau ditukar berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini. PAS rasakan bahawa pemegang yang sekarang ini ada sedikit masalah, insiden terdahulu timbul sedikit permasalahan," katanya.
Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor berkata, beliau belum memaklumkan pendirian PAS itu kepada Menteri Besar dan Ronnie Liu sendiri. "Perkara ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri esok... Exco PAS akan bawa isu ini," katanya.

Dalam pada itu menurut Hasan, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri supaya serius membanteras penjualan arak di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Katanya, kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri supaya kontroversi berkaitan isu arak tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam. Bagaimanapun menurut beliau, langkah sedemikian tidak membabitkan hak masyarakat bukan Islam di negeri ini.

"PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak diharamkan dijual atau diminum di kalangan masyarakat bukan Islam. Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya di sisi Islam dan bukan untuk mengganggu-gugat hak masyarakat bukan Islam.

Oleh itu jelasnya, PAS Selangor kesal apabila inisiatif untuk mengawal pengurusan penjualan dan aktiviti minum arak di kalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak tertentu. Minggu lalu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini. Kata beliau, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham. Perkara itu juga telah dikecam oleh Umno Selangor. Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.

Bagi memastikan enakmen berhubung arak tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, PAS Selangor juga akan mengeluarkan satu deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat pihak berkuasa tempatan (PBT). "Deraf berkenaan bukan satu undang-undang baru, sebaliknya hanya sebagai peraturan yang boleh digunakan oleh kesemua 12 PBT yang ada di Selangor. Sekarang ini hanya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang boleh ambil tindakan, jadi sekarang ini kita nak bagi kuasa itu kepada penguatkuasa PBT juga," katanya.

Macam mana nak audit Halal nie ??

Menarik, tetapi jika semua ramuan yang digunakan adalah HALAL, apa yang patut di audit?

1. Kalau mesin 2ndhand, mungkin ada keraguan, kena samak la.

2. Kalau buat piza banyak kali, takkan tak cuci kan?

3. Banyak juga dokumen yg tak dapat disediakan, camne ye?

video

JAKIM Mula Operasi Pensijilan Halal

KUALA LUMPUR (4 Ogos 09) : Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini memulakan operasi dan pengurusan pensijilan halal bagi produk dalam dan luar negara. Dalam kenyataan media di sini hari ini, Jakim memaklumkan bahawa agensi itu telah diberi tanggungjawab semula untuk menguruskan pensijilan halal Malaysia dan mengambil alih pentadbiran daripada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), selaras dengan keputusan Kabinet pada 8 Julai lalu. "Oleh yang demikian, segala permohonan pensijilan halal, proses pengauditan, pemantauan dan penguatkuasaan akan ditadbir urus sepenuhnya oleh Jakim yang juga dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan martabat serta integriti pensijilan halal Malaysia di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Jakim turut memaklumkan bahawa semua permohonan yang dikemukakan kepada HDC sebelum ini akan diuruskan oleh Bahagian Hub Halal JAKIM. "Berhubung sijil halal yang dikeluarkan HDC sebelum ini, Jakim berpandangan ianya adalah sah sehingga tamat tempoh sijil tersebut dan perlu diperbaharui semula melalui Jakim," menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Bahagian Hub Halal Jakim di alamat Ground Floor, Blok 2200, Enterprise Building 3, Persiaran APEC, 63000 Cyberjaya atau menghubungi talian 03-83150200 atau faks 03-83187044 atau melayari laman web www.halal.gov.my. - Bernama

03 August 2009

Badan Halal Dunia 5 - BRUNEI

  1. Brunei Halal Brand menggunakan logo halal sebagai mekanisme pemasaran. Ianya dibangun dan diuruskan oleh satu badan dipanggil BRUNEI HALAL BRAND DEVELOPMENT DIVISION dibawah DEPT OF AGRICULTURE, MINISTRY OF INDUSTRY AND PRIMARY RESOURCES, negara Brunei Darussalam.
  2. Bukankah sepatutnya ia diuruskan oleh Bahagian Agama, kan? Ye, pensijilan halal sememangnya diuruskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Brunei, melalui Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, namun segala kerja membangunkan industri halal dan memasarkan logo halal ini dilakukan oleh Division yang diatas tersebut. Umpama JAKIM & HDC la.
  3. Jabatan Hal Ehwal Syar'iah telah ditubuhkan pada 21hb. Oktober, 1986 iaitu, sejak Jabatan Hal Ehwal Ugama dinaikkan tarafnya menjadi sebuah kementerian yang sekarang dikenali sebagai Kementerian Hal Ehwal Ugama.
  4. Dibawah adalah merupakan logo lama, dan diatas adalah yang terbaru sekali. Brunei Halal Brand merupakan satu projek kerajaan Brunei untuk mempelbagaikan sumber ekonomi disamping 2 projek lain iaitu Kewangan Islam & Eko-Pelancongan. Dan ianya juga menjadi salah salah satu objektif utama Brunei untuk mencari sumber alternatif ekonomi selain industri minyak & gas.